Wednesday, January 26, 2011

CARA SEMBAHYANG


Cara sembahyang yang betul adalah penting bagi memastikan ibadah solat kita diterima oleh Allah. Oleh yang demikian, kami menyediakan panduan ringkas tentang cara2 mengerjakan solat dengan kaedah yang betul sebagai panduan umum kepada kita semua.


Panduan dibawah ini adalah contoh rukun bagi solat EMPAT RAKAAT (isya', zohor dan asar). Bagi solat maghrib dan subuh, hendaklah menurut bilangan rakaat solat tersebut iaitu tiga dan dua rakaat masing-masing.

NIAT SEMBAHYANG (EMPAT RAKAAT)

Usalli fardhaz 'isya'i arba'a raka'atin (*) adaan lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu
(isyak) empat rakaat (*) tunai kerana Allah Ta'ala.

# gantikan dengan asri (asar) atau #zuhri (zohor)
* tambahkan makmuman (mengikut imam), jika sembahyang berjemaah.


Selaraskan dan rapatkan kedua-dua kaki, tangan juga hendaklah dirapatkan ke arah badan.



Hendaklah berdiri betul menghadap kearah Kiblat, Kaabah (Arah bagi orang-orang Islam bersembahyang, tempat di mana arah matahari terbenam di Malaysia atau arah Barat)

Untuk lebih Khusyuk dalam sembahyang hendaklah tumpukan perhatian kepada sembahyang dan ketahuilah anda sekarang berhadapan dengan Allah serta pandanglah kearah tempat Sujud.






Rapatkan kedua-dua tangan
ke paha ketika memasang
niat dalam sembahyang
yakni sebelum mengangkat takbir.




TAKBIRATUL IHRAM
BERDIRI SAMBIL MENGANGKAT TAKBIR


Allahu Akbar

Maksudnya:

Allah Maha Besar




Angkat kedua-dua tangan ke paras telinga selepas memasang niat dalam sembahyang sambil itu bertakbir seperti di atas.



Lintaskan didalam hati ketika waktu yang sama mengangkat takbir niat kita bersembahyang.

Lelaki - di bawah telinga
Perempuan - di bawah paras bahu



BERDIRI RAKAAT PERTAMA (DO'A IFTITAH)
TANGAN DI LETAKKAN DI ATAS PERUT (PUSAT)



Allahu Akbaru kabiraw walhamdu lillahi kathiraw wasubhanallahhi bukratau waasila. Wajjahtu wajhia lillazi fataras sama wati wal ardha hanifam muslimaw wama ana minal musyrikin. Inna solati wanusuki wamahyaya wammamati lillahi rabbil'alamin. La syarikalahu wabiza lika umirtu wa ana minal muslimin.

Maksudnya:
Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan maha suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya . Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim (Islam).

Perempuan - Tangan di atas Lelaki - Tangan memegang

Letakkan kedua tangan selepas mengangkat takbir (tangan kanan di atas tangan kiri, beratkan ke sebelah kiri bagi lelaki).

TERUSKAN DENGAN MEMBACA


A'uzubillahi minassyaitanir rajim.


Maksudnya:

Aku berlindung dengan Allah dari godaan syaitan yang kena rejam.



SURAH AL-FATIHAH


Bismilla hirrahma nirrahim.

Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Arrahma nirrahim. Maliki yaumiddin.Iyyaka na'kbudu waiyyaka nasta'in. Ihdinassiratal mustaqim. Siratal lazina an'amta'alaihim ghairil maghdubi 'alaihim waladdhalin.

Amin (*).

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Segala puji-pujian bagi Allah tuhan seru sekalian alam. Yang maha pemurah lagi maha pengasih. Yang berkuasa pada hari pembalasan. Hanya Engkau sahaja wahai tuhan yang kami sembah dan hanya Engkau sahajalah tempat kami meminta pertolongan. Tunjukanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang terdahulu yang telah Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

Amin (*) (Perkenankanlah permintaan Kami)

* Sambutlah perkataan Amin bersama-sama jika sembahyang jemaah, tunggu selepas imam membacanya kemudian anda baca fatihah.(jika sembahyang zohor dan asar anda dikehendaki membaca sendiri selepas bacaan do'a iftitah).



KEMUDIAN BACA SEBARANG SURAH CONTOHNYA:


Bismilla hirrahma nirrahim.

Inna a'ktainakal kautsar. Fasalli lirabbika wanhar. Innasya niakahual abtar.

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Sesungguhnya Kami (Allah) telah kurniakan kepadamu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka dirikanlah sembahyang kerana (syukur kepada) Tuhanmu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

TAKBIR KERANA RUKUK
BERDIRI SAMBIL MENGANGKAT TAKBIR

Allahu Akbar

Maksudnya:

Allah Maha Besar



Angkat kedua-dua tangan ke paras telinga sambil itu bertakbir seperti di atas.



RUKUK
TUNDUK DALAM KEADAAN 90 DARJAH



Subahana rabbial 'azimi wabihamdih. (3 Kali)

Maksudnya:

Maha suci Tuhanku yang Maha Agong dengan sifat kepujiannya.




Anda boleh juga membacanya lebih dari 3 Kali dengan kiraan ganjil contohnya 5X, 7X, 9X, 11X ataupun sekali dan sebagainya.


Kedudukan tangan bagi muslimat ketika melakukan rukuk, siku dirapatkan ke badan.




IK'TIDAL (KEMBALI BERDIRI SELEPAS RUKUK)
BERDIRI SAMBIL MEMBACA DOA

Sami'allahu liman hamidah.

Maksudnya:
Allah mendengar orang yang memujinya.





Angkat kedua-dua tangan ke paras telinga dan baca ayat diatas.



IKTIDAL SELEPAS RUKUK
BERDIRI KEMBALI SEBELUM SUJUD

Rabbana lakalhamdu.

Ertinya:
Ya Tuhan kami, Bagimu segala puji.

* Rabbana lakalhamdu mil assamawati wamil ardhi wamil a'maasyita min syai i'nba'du.(Ya Tuhan kami, bagimu segala puji seisi langit dan bumi dan sebanyak yang Engkau kehendaki).

Teruskan dari kedaan diatas menuju sujud yang pertama.




SUJUD PERTAMA
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

Subhana rabbiayal a'kla wabihamdih (3 Kali).

Maksudnya:
Maha Suci Tuhanku yang Maha Mulia dengan sifat kepujiannya.


Kedua tangan paras lantai, dahi juga hendaklah berkeadaan seperti di sebelah.

Allahu Akbar

Maksudnya:
Allah Maha Besar






DUDUK ANTARA DUA SUJUD
DUDUK SEPERTI MELUTUT

Rabbighfirli warhamni wajburni warfa'kni warzuqni wahdini wa'afini wa'kfu 'anni.

Maksudnya:
Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku.




SUJUD YANG KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KELAPAN)
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

BERDIRI PADA RAKAAT KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KETIGA)
T
ANPA MENGANGKATANGAN TERUS BACA


SUJUD PERTAMA RAKAAT KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KELAPAN)
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

DUDUK ANTARA DUA SUJUD RAKAAT KEDUA (LANGKAH 9)
DUDUK SEPERTI MELUTUT

SUJUD KEDUA RAKAAT KEDUA (RUJUK KE LANGKAH KELAPAN)
TUNDUK HINGGA KE PARAS LANTAI

BANGUN DAN SILA ULANGI LANGKAH YANG SAMA SETERUSNYA SEHINGGA RAKAAT KEEMPAT

Thursday, January 20, 2011

Kelebihan Solat Berjemaah

Maksud Solat Jemaah.

Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.

Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.

Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:

  1. Fardhu ain pada solat Jumaat;
  2. Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan
  3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.

Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,

Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

Selepas ini insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan solat berjemaah.

Wallahu a’lam.

Wednesday, January 19, 2011

Kepentingan Ilmu Pengetahuan dan Sumbernya Menurut Islam

1. Definisi Ilmu Pengetahuan

Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit
knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. (Noraziah Sharuddi, 2002)

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;

2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.

2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.

3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan

Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.

1. Wahyu

Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia.

2. Pancaindera

Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.

3. Akal

Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.

4. Intuisi atau Ilham

Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama.

Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan, matematik, dan undang-undang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku.

RUJUKAN

Al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. t.th. Maucizah al-mu`minin min ihya` ulum al-din. t.tp : Maktabah Misr.

Khazali. (tanpa tarikh). Konsep Ilmu. http://khazalii.googlepages.com/udi30521konsepilmu [13 April 2008]

Noraziah Sharuddin. 2002. Forum memori korporat UTM. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia